Tuesday, May 29, 2007
BUDAYA PENYELENGGARAN JADIKAN AMALAN
Sudah hampir sebulan kita didendangkan dengan isu penyelenggraan bangunan kerajaan namun isu tersebut semakin terus hangat diperkatakan sehingga menenggelamkan kehangatan isu kenaikan gaji kekitangan awam yang diumumkan YAB Perdana Menteri kita baru-baru ini. Bermula dengan runtuhan siling di Putrajaya, kebocoran siling di Parlimen, kebocoran paip air di Kompleks Mahkamah Putrajaya dan yang terbaru runtuhan 20 keping siling di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Isu ini bukanlah satu isu yang baru apatah lagi kita pernah berhadapan dengan kejadian yang lebih besar pada tahun 1993 ketika kondominium Highland Tower runtuh menyembah bumi. Kita sepatutnya sudah belajar daripada kesilapan yang berlaku dan mempertingkatkan usaha untuk menanganinya daripada berulang. Lazimnya apabila kes-kes seperti ini berlaku akan bermulalah perang tunding-menunding serta tidak kurangnya ada sesetangah pihak yang mencari alasan untuk menyelamatkan diri.
Masalah ini dapat dielakkan sekiranya budaya penyenggaraan diamalkan di semua premis bangunan tidak kira sama ada bangunan kerajaan mahupun bangunan persendirian. Budaya penyenggaraan bukan sahaja dapat memanjangkan jangka hayat sesebuah bangunan tersebut malahan juga dapat menjimatkan kos pengoperasian melalui penyenggaraan bersepadu.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa penyenggaraan hanya melibatkan kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan malah tidak kurang juga yang beranggapan bahawa penyenggaraan itu adalah kerja-kerja penambahan pada bangunan serta kerja-kerja mencantikkan bangunan. Tanggapan tersebut bukanlah satu tanggapan yang salah dari perspektif skop kerja. Namun perspektif ini berbeza sekiranya dilihat dari sudut fungsi serta matlamat penyenggaraan yang lebih menekankan aspek pencegahan sesuatu kerosakan daripada berlaku.
Amalan penyenggaraan ini perlulah dilakukan secara optimum oleh pihak-pihak yang kompeten. Secara am kerja-kerja penyenggaraan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja namun untuk pengurusan penyenggaran yang efektif, kerja-kerja ini sepatutnya dilakukan oleh Juruukur Bangunan. Sudah sampai masanya profesion Juruukur Bangunan ini diketengahkan bagi menguruskan kerja-kerja penyenggaraan bangunan terutamanya bangunan-bangunan yang dimiliki oleh kerajaan.
Tidak perlulah kita melihat jauh sehingga ke negara Eropah , cukuplah sekadar melihat jiran kita iaitu Singapura yang telah mengiktiraf profesion Ukur Bangunan ini sebagai satu profesion yang berkredibiliti dalam industri pembinaan mereka. Kita masih belum terlambat kerana profesion Ukur Bangunan ini diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di bawah gred J41 dan J29 malah terdapat beberapa universiti tempatan yang menawarkan kursus Ukur Bangunan ini.
Keadaan tidak akan berubah sehingga budaya tunggu dan lihat ini dikikis dari mentaliti seluruh rakyat Malaysia. Bukanlah niat saya di sini untuk menyalahkan mana-mana pihak apatah lagi di saat Negara kita bakal menyambut ulangtahun perayaan kemerdekaan yang ke-50 Ogos ini. Kita mungkin akan tersenyum bangga apabila orang yang kita sayangi terkorban untuk harga sebuah kemerdekaan namun adakah kita mampu untuk tersenyum jika orang yang kita sayangi gugur dalam runtuhan bangunan yang tidak dijaga.
SUMBER BLOG: Posted by Mohammad Ashraf A Rahman at 12:48 AM
Labels: Articles
Friday, November 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment